Selepas pembunuhan Caesar Julius_Caesar

Pembunuhan Caesar telah membawa kesan yang amat mendalam kepada Rom. Kesan yang paling ketara ialah tamatnya Republik Rom. Caesar telah banyak berjasa kepada rakyat Rom dari golongan sederhana dan rendah. Oleh itu mereka menjadi marah apabila mengetahui bahawa sekumpulan bangsawan telah membunuh pejuang keadilan mereka. Mark Antony juga telah mencetuskan kemarahan mereka apabila memberitahu rakyat jelata bahawa Caesar berhasrat untuk memberi setiap rakyatnya harta serta tanah yang banyak. Mark Antony telah cuba untuk mendapatkan simpati masyarakat Rom dengan mengancam melepaskan mereka untuk menyerang pihak Optimates, mungkin dengan tujuan untuk mengambilalih Rom. Rakyatnya yang setia kepada Caesar telah merempuh Senat dan membakar bangunan tersebut. Ironiknya kematian Caesar telah mengembalikan sistem monarki ke Rom.

Walaupun Mark Antony bercita-cita untuk memerintah Rom, Caesar telah menamakan anak saudara dan juga anak angkatnya iaitu Gaius Octavius sebagai pewaris tunggal harta serta pangkatnya. Oleh kerana ramai rakyat Rom menganggap Gaius Octavius sebagai pewaris Caesar, kesetiaan mereka telah berganjak dari Caesar yang mati kepada Octavius yang hidup. Octavius yang hanya berusia 19 tahun ketika kematian Caesar, terbukti seorang yang merbahaya dan kejam. Sewaktu Antony berusaha untuk menghadapi Brutus dalam perang saudara yang baru, Octavius mula memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah Rom. Pada Oktober 42 SM, Brutus dan Cassius telah ditewaskan di Philippi, berhampiran pantai utara Lautan Aegean.

Pada mulanya Octavian telah memberi sokongan padu kepada Mark Antony. Namun beliau hanya menunggu masa untuk Antony membuat kesilapan. Kesempatan itu berlaku pada 41 SM, apabila Mark Antony bertemu dengan Cleopatra dari Mesir. Pada ketika itu Antony meminta bantuan Mesir untuk menawan Parthia (kini Iran). Sebaik sahaja berjumpa dengan Cleopatra beliau telah dilamun cinta. Pada tahun yang sama, Caesar secara rasminya telah didewakan sebagai "Julius yang suci" (Divus Iulius), dan Octavian diberi gelaran Divi filius ("Anak Tuhan"). Semasa tentera Antony dan Cleopatra menyerang Parthia mereka telah menerima kekalahan yang teruk. Ini memberi peluang kepada Octavian untuk mengecam Marc Antony dan menuduhnya sebagai seorang yang lemah. Pada 21 September 31 SM, armada Cleopatra dan Mark Antony telah keluar untuk menentang tentera Rom. Malangnya, pertempuran di Actium gagal. Pada Ogos 30 SM bala tentera Octavian telah menceroboh Mesir, dan Mark Antony serta Cleopatra telah membunuh diri mereka. Anak kandung Caesar iaitu Caesarian juga telah dibunuh oleh tentera Octavian.

Selepas kematian Caesarian tiada siapa lagi yang boleh mengaku sebagai zuriat Caesar. Apabila beliau pulang dari kemenangan di Mesir, Octavian telah meletak jawatannya sebagai Konsul dan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Rom terutamanya golongan plaebian. Octavian kemudiannya memberi pilihan kepada Senat sama ada untuk menerima Rom yang kacau bilau atau Rom yang aman di bawah seorang pemerintah. Akhirnya mereka terpaksa menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Octavian. Walaupun Senat masih wujud tetapi mereka sekadar boneka sahaja. Manakala Octavian memerintah seolah-olah beliau Maharaja Rom. Octavian telah berusaha untuk meneruskan dasar-dasar Caesar seperti memberi hak kewarganegaraan kepada rakyat luar yang menetap di Itali.